Taklimat pilihan raya Pilihan_raya_kecil_Chempaka_2015

Pada 18 Feb 2015, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menetapkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan pada 22 Mac 2015. Timbalan Ketua Jajahan Kota Baharu Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Ibrahim Mat Deris dilantik sebagai pegawai pengurus PRK DUN Chempaka dan akan dibantu oleh dua penolong pegawai pengurus pilihan raya.

Hari penamaan calon pada 10 Mac, manakala pengundian awal pada 18 Mac.Tarikh tutup untuk permohonan bagi undi pos untuk dalam negara adalah pada 12 Mac, manakala untuk permohonan undi pos bagi pengundi luar negara pada 10 Mac 2015.

PRK DUN Chempaka ini adalah pilihan raya kecil kelapan diadakan selepas PRU13 pada 5 Mei 2013. Tujuh PRK sebelum ini adalah PRK DUN Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2104) dan PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014).

Daftar pemilih yang akan diguna untuk PRK itu ialah Daftar Pemilih Induk 2013 yang digabungkan sehingga Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2014 dan dikemas kini sehingga 12 Feb 2015. Daftar pemilih itu mengandungi 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa, 1,497 pemilih awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara.

Daftar pemilih akan mula dijual pada 8 Mac 2015. Para pengundi juga boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui laman web SPR atau menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kota Baharu. Sebanyak 10 pusat mengundi melibatkan sembilan sekolah dengan 42 saluran tempat mengundi akan diguna, manakala pengundian awal akan berlangsung di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, Kota Baharu. Setakat ini keadaan semua sekolah yang dijadikan pusat mengundi untuk PRK DUN Chempaka itu adalah memuaskan dan tidak memerlukan sebarang penambahbaikan memandangkan ia tidak terlibat dengan banjir besar baru-baru ini.

Seramai 403 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini dan belanjawan dianggar sebanyak RM810,000. Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya ditubuhkan yang akan diketuai oleh seorang pengawai penguat kuasa bagi setiap pasukan.

SPR akan melantik pemerhati tempatan jika ada permohonan .Mereka mungkin dari NGO dan dibenarkan untuk membuat pemerhatian di dalam pusat penamaan calon, pusat pengundian awal, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi. SPR tidak lagi mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu selain yang dilantik oleh suruhanjaya ini. SPR berhak menghalang sesiapa yang tidak diberi kebenaran untuk membuat pemerhatian dan pemantauan.[2]